Wednesday, August 11, 2010

MAKANAN

Makanan Malaysia ini selari dengan budaya makanan orang Melayu. Pelbagai lauk-pauk tidak akan sempurna jika tidak diiringi dengan nasi. Nasi merupakan makanan utama bagi orang Malaysia dan orang Melayu amnya. Beras juga merupakan nadi budaya kehidupan dan adat bagi penduduk Asia. Bijirin kecil ini juga berjaya membentuk budaya diet (pemakanan) dan ekonomi penduduk Asia. Di Malaysia padi menjadi tanaman utama di Kedah dan Perlis dan dikenali sebagai ‘rice bowl of Malaysia’. Nasi dihidangkan dengan pelbagai lauk-pauk dan ulam ulaman. Bahan yang digunakan dalam masakan Melayu berkisar kepada santan, cili dan belacan. Hidangan orang Melayu dikatakan mampu menghangatkan suasana di meja makan. Hidangan Melayu terkenal bukan sahaja dari keenakan tetapi dari segi kepedasan dan juga penggunaan rempah ratusnya.

Santan merupakan bahan asas dalam masakan kita. Ia digunakan dalam segala jenis gulai atau masak lemak. Bahan perasa (seasonings) dalam masakan Melayu di bahagi kepada dua: rempah basah dan rempah kering. Rempah basah iaitu bahan yang ditumbuk dengan batu lesung: bawang, halia, bawang putih dan cili. Rempah kering pula termasuk biji ketumbar, jintan, buah pelaga, kayu manis dan lain-lain. Rempah ratus ini selalunya di sangai (digoreng tanpa minyak) terlebih dahulu sebelum ditumbuk atau dikisar. Orang Melayu juga banyak menggunakan bahan-bahan herba seperti serai, daun pandan, daun limau purut, daun kemangi, bunga kantan, kunyit, lengkuas dan buah pala.Terdapat beberapa contoh makanan melayu di negara kita adalah seperti nasi lemak, nasi tomato, ketupat, lauk rendang, satay, nasi ambeng, kuih-muih tradisional dan sebagainya.

Nasi lemak patut dijadikan makanan kebangsaan Malaysia. Ia bukan sahaja menjadi kegemaran orang Melayu tetapi turut di pelopori oleh kaum Cina dan India. Nasi lemak dahulunya dihidang untuk sarapan pagi tetapi pada masa kini dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Ia juga turut dihidang pada rumah terbuka dan dijadikan salah satu menu (ala carte) di hotel-hotel. Nasi lemak turut diiringi dengan beberapa lauk sampingan: kari ayam, rendang (ayam dan daging), sambal (sotong kering atau ikan bilis), ayam goreng dan paru goreng.



Di musim perayaan (hari lebaran, kenduri kendara) nasi tomato beserta lauk pauknya sentiasa menarik perhatian tetamu. Nasi tomato dihidang bersama ayam masak merah, dalca, ayam golek, pecal dan lain-lain. Bagi orang Melayu pantai Timur (Kelantan dan Terengganu) menghidangkan pelbagai juadah seperti nasi dagang, nasi berlauk, nasi minyak, ayam percik dan lain-lain. Negeri Perak pula berbangga dengan rendang tok dan gulai ikan sembilang tempoyak. Gulai lemak cili padi (ayam, ikan dan daging) pula dipelopori oleh orang Negeri Sembilan. Selain lauk pauk terdapat juga makanan ringan; laksa Penang, laksa Johor, pesembur, mi Siam dan lain-lain.

Ketupat merupakan sejenis hidangan daripada nasi atau pulut yang dibungkus dengan daun kelapa dan direbus dalam periuk yang terkenal di negara kita.Jenis ketupat bergantung kepada bahan yang digunakan dan daun yang digunakan untuk membuat bungkusannya.Ketupat biasanya dihidangkan semasa Hari Raya.Ia biasanya dihidang dengan rendang dan serunding serta kuah kacang.



Manisan kegemaran orang Melayu ialah dari jenis bubur dan kuih muih. Bubur pulut hitam, bubur kacang, pengat pisang dan bubur cacar (kandungan keladi, keledek dan tepung gunting) merupakan manisan yang sangat popular. Kebanyakan kuih muih orang Melayu berasaskan beras, beras pulut dan ubi. Contohnya kuih seri muka (di bawah pulut dan di atas kastad pandan) pulut panggang (pulut berisi serunding kelapa atau ikan) bengkang ubi, talam keladi, cucur badak, kuih lapis dan sagu gula Melaka. Manisan tradisi bagi orang Melayu pula ialah dodol, wajek, kuih koci, bahulu dan onde-onde. Kuih tradisi ini masih diminati terutama pada bulan Ramadhan dan lebaran. Minuman iringan pula, orang Melayu kita tidak akan lupa menghidangkan air sirap bandung, sirap selaseh, air kelapa dan air kopi kampung.


Bila kita menyebut nasi kandar, Pulau Pinang menjelma dalam ingatan kita. Nasi kandar di Pulau Pinang samalah seperti adanya nasi dagang di Kelantan atau Terengganu. Kini populariti nasi kandar telah menular ke negeri-negeri lain di Semenanjung. Kadang kala kita tertanya-tanya apa yang membezakan nasi kandar dengan nasi-nasi yang lain. Nasi kandar diiringi dengan pelbagai jenis lauk pauk (dalam 30 jenis masakan). Contoh hidangan lauk pauk nasi kandar ialah: ayam goreng berempah, kari kepala ikan, ikan goreng, kari telur sotong, udang galah goreng, kari daging rusa, kari kambing dan lain lain. Berbalik mengimbas sejarah nasi kandar, kita akan ke selatan India. Di sinilah bermulanya di mana pedagang-pedagang India Muslim berulang alik antara India dan Semenanjung. Pada mulanya pengaruh masakan mereka ini tertumpu di utara Semenanjung sahaja: Alor Setar, Kangar, Sungai Petani dan Penang. Lama kelamaan populariti nasi kandar ini menular keseluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Nasi kandar mengekalkan nama ‘kandar’ ini berlandaskan cara penjaja nasi ini menjualnya. Nasi dikandar di bahu (dua bakul atau raga dengan satu batang kayu) dan mereka akan berjaja merentas kampung-kampung. Pasa masa kini nasi kandar boleh dinikmati di restoran-restoran dan juga di hotel. Menikmati hidangan yang disajikan di atas daun pisang juga menjadi kegemaran orang-orang Malaysia. Minuman iringan dengan nasi kandar ini ialah teh tarik. Ia sepatutnya juga menjadi air minuman kebangsaan Malaysia.

Roti canai atau paratha dan puri ini pada asalnya ialah makanan kegemaran kaum India. Buat masa kini roti canai berjaya meletakkan tarafnya bersama dengan nasi lemak, diminati oleh sebilangan besar rakyat Malaysia. Capati yang diolah dari gandum tulin mempunyai banyak khasiat dan makanan sesuai untuk penyakit kencing manis dan darah tinggi. Roti-roti ini sedap dimakan bersama dal, kari dan sambal.




Satu lagi hidangan berasal dari India ialah nasi beriani. Terdapat beberapa jenis nasi beriani tetapi yang menjadi sebutan dan gilaan ialah nasi beriani gam. Ia bukan sahaja digemari oleh kaum India tetapi juga diminati oleh kaum-kaum yang lain. Nasi beriani ini dipelopori oleh orang Melayu terutama di Johor. Nasi beriani gam ini dimasak bersama dengan lauknya (ayam dan daging) dan doh tepung gandum menjadi bahan penampal atau pelekat. Doh ini akan ditampal di sekeliling tutup periuk untuk mengekalkan wap dan haba, dan seterusnya mengekalkan aroma dan tekstur nasi. Kuih muih orang India dijual di restoran mamak ialah: wade, maruku dan suji. Pelbagai minuman berasaskan tairu dan buah-buahan juga turut dijual. Contohnya nasi mangga.

Masakan nyonya pada masa kini sangat diminati oleh pelbagai kaum di Malaysia. Kaum nyonya bermastautin di Melaka dan Penang. Keturunan nyonya ini dikatakan berasal dari kaum Cina dan Amoy (Xiamen) dan Fukian. Pada abad ke-12 mereka mengawini gadis Melayu tempatan dan seterusnya berkeluarga di mana anak lelaki mereka dipanggil baba dan anak perempuan dipanggil nyonya. Baba dan nyonya mengikut dan meminati nilai tradisi dan budaya Melayu. Mereka fasih berbahasa Melayu, memakai kebaya dan memahami adat resam, nilai dan tradisi orang Melayu. Walau bagaimanapun kaum baba dan nyonya ini masih mengekalkan agama dan adat resam kaum Cina. Masakan nyonya adalah gabungan masakan orang Melayu dan Cina. Contoh masakan nyonya ialah bubur caca, ikan bakar dan air asam, nasi kerabu dan lain-lain. Terdapat beberapa perbezaan antara nyonya Penang dan nyonya Melaka. Di antaranya ialah penggunaan cili, di mana masakan nyonya Penang agak pedas berbanding nyonya Melaka. Nyonya di Penang dipengaruhi oleh Thailand di mana penggunaan limau dan asam jawa agak ketara. Masakan nyonya di Melaka mempunyai banyak pengaruh Indonesia dan Melayu. Contohnya ialah gado-gado dan penggunaan santan dalam masakan mereka. Kaum nyonya juga pandai menggayakan buah-buahan dan sayuran tempatan di dalam masakan mereka. Di antaranya ialah jantung pisang, nangka muda, daun keledek dan belimbing buluh. Buah-buahan dan sayuran ini digabungkan dengan daun limau purut, daun kesum, bunga kantan, daun kunyit dan daun pandan. Otak-otak, kerabu, laksa nyonya dan kuih muih nyonya mendapat tempat di buffet hotel dan restoran. Kuih nyonya terkenal dengan keenakan dan kepelbagaiannya. Kebanyakan kuih nyonya ini berasaskan resipi kuih orang Melayu tetapi diperkemaskan dan perbaharui oleh kaum nyonya. Bahan tani yang digunakan ialah ubi kayu, ubi keledek, ubi keladi, beras pulut, santan dan gula melaka.


Bagi kaum Cina pula bahan utama dalam masakan mereka ialah bahan soya (tahu, taucu, kicap soya) cendawan, bunga lily, biji bijan dan lain-lain. Bahan ini kemudiannya akan diolah bersama rempah yang digunakan oleh orang Melayu seperti biji ketumbar, kayu manis dan sebagainya. Kebanyakan masakan Cina di negara kita ini, kebanyakan resipinya berasal dari Negeri China, contohnya: yong tau foo, char kway teow, dim sum dan lain-lain. Masakan ini telah diminati semenjak abad ke-18.Terdapat beberapa makanan cina yang terkenal di Malaysia adalah seperti char kway teow, lok lok, bak kut teh dan sebagainya.


Char kway teow merupakan makanan yang popular di Malaysia . Ia diperbuat daripada kuey teow (shāhé fěn dalam Cina Mandarin), digoreng di atas api panas dengan kicap dan sos, cili, udang, kerang, telur, tauge dan kucai Cina. Kadangkala hirisan sosej Cina dan kek ikan atau bahan-bahan lain ditambah mengikut citarasa setempat. Pada asalnya ia dimasak menggunakan lemak babi, yang memberikannya rasa tersendiri, namun kini sering dimasak menggunakan minyak biasa. Berbanding kuey teow goreng biasa, char kway teow agak basah.


 Lok lok adalah satu-satu makanan Cina yang masih dijaja dan menjadi kegemaran kaum Cina. Lok lok atau dikenali dengan sate celup merupakan makanan ringan dari sayuran, daging dan makanan laut. Nasi ayam bukan sahaja dipelopori oleh kaum Cina tetapi diminati oleh semua rakyat Malaysia.





Bak Kut The (肉骨茶) secara harfiah bermaksud "Daging Bone Teh". Ini masakan yang unik popular di Malaysia. Ini sup herba China direbus dengan rusuk cadang dan bahan tambahan lain seperti cendawan, jeroan, goreng tahu puff. Esensi dari hidangan ini terletak pada harum sup siap dengan bermacam-macam jamu.Ini biasanya dimakan dengan nasi putih, ditemani secangkir teh China.   

     Kesimpulannya, sebagai rakyat Malaysia, mempunyai makanan tradisional sendiri ialah sesuatu yang harus dibanggakan kerana ia mencerminkan keunikan budaya dan identiti bangsa di negara kita. Oleh itu, kita harus berasa bangga terhadap negara kita.



YAP WEE YEE S205145




 

3 comments:

  1. great .! thanks for helpin me do folio.!

    ReplyDelete
  2. thanks..buat blog ini..semua makanan saya dah tahu. moga blog ini disukai ramai..

    ReplyDelete